fb fb fb fb fb

Kedah dijangka terima kemasukan 250,000 buah kenderaan sempena Tahun Baharu Cina 2022

LUNAS, 30 Januari - 250,000 buah kenderaan dijangka memasuki Kedah sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) minggu ini.

Cuti perayaan yang panjang selama seminggu antara faktor orang ramai menggunakan peluang kali ini untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti.

Exco Pengangkutan Negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata jumlah tersebut meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Rentetan itu, semua agensi dan jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap siaga bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa Operasi Bersepadu Tahun Baharu Cina 2022 di negeri itu.

"Aktiviti penguatkuasaan Tahun Baharu Cina 2022 dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kematian selain kita akan pastikan operasi pengangkutan awam berjalan dengan lancar. Kita juga harap pengguna jalan raya dapat mematuhi undang-undang yang telah digariskan," kata Azman selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Kedah 2022 di Plaza Tol Lunas, dekat Kulim, Kedah.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie.

Bagi memastikan keberkesanan dan penguatkuasaan, JPJ telah menyusun tujuh strategi utama iaitu fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal, rondaan di lebuh raya dan jalan utama, penguatkuasaan khas motosikal dan penyamaran sebagai penumpang bas.

"Selain itu, rakaman video secara elektronik di lebuhraya dengan menggunakan kamera kenderaan 'dashcam' atau 'enforcement action camera (EAC)', aduan awam, operasi bilik kawalan dan pelaporan statik dan ceramah keselamatan jalan raya di agensi-agensi,pejabat kerajaan, IPTA dan IPTS," tambahnya.

Tempoh penguatkuasaan TBC 2022 adalah selama dua minggu bermula 25 Januari hingga 8 Februari 2022.

Tarikh larangan pemanduan kenderaan barangan adalah pada 30 dan 31 Januari serta 4 dan 5 Februari 2022.

 

Media Baharu