
ALOR SETAR, 13 Februari – Kes kebakaran terbuka di Kedah meningkat ketara dengan 1,263 kes direkodkan daripada keseluruhan 1,488 kebakaran setakat Januari hingga 10 Februari lalu susulan cuaca panas.
- Kebakaran terbuka meningkat ketara di Kedah dengan 1,263 kes akibat cuaca panas.
- Operasi pemadaman besar di tapak pelupusan sampah Kulim melibatkan kira-kira 50 anggota setiap hari.
- Cuaca panas mula berkurangan selepas hujan susulan program pembenihan awan; kempen keselamatan kebakaran dilancarkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah (JBPM), Awang Hidzel Awang Bujang berkata baki kes melibatkan operasi penyelamatan, tugas khas serta panggilan palsu.
Beliau berkata antara kebakaran terbesar membabitkan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 1.42 hektar di Padang Cina, Kulim yang bermula 26 Januari lalu dan operasi pemadaman hanya berjaya ditamatkan semalam.
Menurutnya operasi berskala besar itu melibatkan kira-kira 50 anggota setiap hari termasuk kerjasama pelbagai agensi.
“Tapak pelupusan itu luas dan jaraknya jauh menyebabkan anggota terpaksa berpecah untuk menumpukan pemadaman di beberapa lokasi serentak,” katanya.
Beliau berkata operasi berkenaan memberi cabaran kepada anggota yang bertugas secara bergilir-gilir selain berdepan cuaca panas.
Tambahnya keadaan cuaca panas di beberapa kawasan di Kedah mula berkurangan susulan hujan selepas pembenihan awan yang dijalankan di tiga negeri termasuk Kedah bermula semalam.
Awang Hidzel berkata demikian selepas merasmikan Program Siap Siaga Raya: Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan di sebuah pasar raya di Alor Setar.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan kebakaran menjelang musim perayaan.
Turut diadakan sesi penyerahan dokumen sasaran kepada zon pelaksanaan kempen keselamatan awam di seluruh negeri serta penyampaian sijil kebombaan dan sijil penghargaan kepada badan korporat.