SANDAKAN, 23 Mac- Kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah mencapai 99 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kemahiran yang dimiliki membolehkan mereka ditawarkan peluang pekerjaan meskipun belum menamatkan pengajian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia selaras dengan unjuran kementerian itu agar perhatian ditumpukan pada bidang kemahiran supaya dapat membina kepakaran negara dengan kekuatan tenaga kerja sendiri khususnya pelajar di peringkat kolej vokasional.
"'Saya yakin dan percaya. Itu yang kita sedang usahakan ketika ini dan kita risau dengan kebolehpasaran telah mencapai 99 peratus tetapi yang sedang kita perjuangkan adalah kadar upah lebih berpatutan dan bermaruah untuk anak-anak kita. Ini penting berdasarkan kemahiran-kemahiran yang mereka ada," kata Fadhlina kepada pemberita, di sini.
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kolej Vokasional Sandakan 2, semalam.
Jelasnya, kolej vokasional tidak boleh ketinggalan kerana tumpuan pada masa ini adalah TVET yang menyeluruh.
Ini termasuk kursus-kursus relevan di institusi pendidikan yang perlu diperhalusi supaya mengikut kehendak pasaran.
Sementara itu program Kolej Vokasional Insani juga akan diperluas di Sabah bagi menyampaikan mesej kepada ibu bapa untuk memilih TVET agar ia tidak lagi menjadi pilihan kedua.