fb fb fb fb fb

Kebersamaan kompenan BN mampu raih lebih kerusi pada PRU-16

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Kebersamaan semua parti kompenan dalam Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuh dalam memastikan kestabilan politik terjamin.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya mengetepikan perkara-perkara remeh kejayaan itu boleh dicapai.

"Kalau kita mengetepikan perkara titik bengik, petty issues, kembali kepada landasan BN yang sebenar dengan memperkukuh semangat BN dan pada masa sama pemimpin utama parti komponen mengenepikan perbezaan pandangan, saya hampir pasti bahawa BN akan mendapat kerusi yang lebih di dalam PRU akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di ibu negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di Malaysia.

Pelantikan bawah Timbalan Perdana Menteri itu berperanan sebagai penasihat beliau khususnya dalam pelaburan melibatkan masyarakat tersebut di negara ini.

Sebagai langkah awal, pelaburan RM5 bilion dalam industri halal semasa di China juga adalah hasil usaha beliau bersama presiden MCA itu.

"Sebagai langkah awal saya ingin mengumumkan bahawa pelaburan daripada syarikat-syarikat China untuk dedikasikan zon perindustrian halal berjumlah RM5 billion adalah atas usaha usaha Presiden MCA dan saya sendiri.

"Malah semasa lawatan rasmi saya ke China saya telah membawa Presiden MCA untuk menjadi delegasi rasmi yang telah bersama-sama dengan saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus bagi masyarakat cina akan terus dipergiat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia bagi memastikan pasaran buruh komuniti tersebut dapat dipertingkat dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Perkara itu juga merupakan susulan beberapa tempat pengajian TVET tersedia di negara China untuk tujuan pembelajaran dalam bidang tersebut.

"Malah saya ingin memberitahu bagaimana rapatnya hubungan MCA dengan saya. Saya telah menawarkan beberapa tempat kepada pelajar-pelajar TVET yang terdiri daripada orang-orang Cina bawah Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk belajar TVET di negara C.Ini menjadi agenda Presiden MCA," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI