fb fb fb fb fb

Keberjayaan PICK: Kadar jangkitan COVID-19 menurun

PUTRAJAYA, 15 Januari - Susulan daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati pengurangan yang amat ketara daripada segi kadar jangkitan COVID-19, kemasukan ke hospital dan seterusnya membolehkan rakyat Malaysia menjalankan semula kehidupan di dalam norma baharu demi kualiti kehidupan yang lebih baik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, hasil daripada usaha jitu semua pihak termasuk dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, keluk pandemik COVID-19 di negara Malaysia juga telah berjaya dilandaikan.

"Salah satu inisiatif KKM untuk memperkukuhkan program ini adalah melalui Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dengan menjalankan penyelidikan dalam Keberkesanan Real-World bagi Vaksin COVID-19 di bawah PICK Malaysia (RECoVaM, NMRR 21-1660-60697)."

"Kajian RECoVaM telah mendapati bahawa kadar kes jangkitan COVID-19 bagi setiap 1,000 populasi dalam kalangan kumpulan yang tidak divaksin adalah jauh lebih tinggi iaitu 36.2% berbanding penerima vaksin Oxford-Astra Zaneca (7.1%), Pfizer-BioNtech (6.6%) dan CoronaVac (11.6%)." Kata Noor Hisham.

Sepanjang tempoh pemerhatian dari 1 April 2021 sehingga 9 Januari 2022, Malaysia telah melaporkan 2,440,873 kes jangkitan COVID-19.

Ini termasuk 628,627 kes yang telah dilaporkan berlaku di kalangan individu di bawah umur 20 tahun dan daripada jumlah tersebut 331,991 kes adalah dalam kalangan lelaki.

Media Baharu