KUCHING, 17 Februari- Seramai 22 penghuni daripada tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas empat buah rumah sewa di Kampung Tabuan Dayak di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Alimaddia Bukri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.01 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya serta BBP Batu Lintang dikerahkan ke lokasi.
Kebakaran memusnahkan sepenuhnya rumah teres dua tingkat jenis separuh kekal, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Penduduk terjejas terdiri daripada 18 dewasa dan empat kanak-kanak kini ditempatkan sementara di Gereja All Saint di Tabuan di sini.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.