KUALA LUMPUR, 6 Mac- Seorang pekerja lelaki warga asing melecur dalam kebakaran di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Bangsar Utama, hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Wan Mohamad Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 11.44 pagi.
Seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Sri Hartamas, BBP Hang Tuah dan BBP Suputeh bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kita lihat api bermula di bahagian dapur tetapi siasatan masih dijalankan. Keluasan kebakaran adalah 40x100, (memusnahkan) 70 peratus (bahagian premis).
"Tiada mangsa lain yang cedera," katanya kepada pemberita di sini.
Wan Mohamad berkata, api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Kos kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Mangsa, 45, yang merupakan warga India dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut.