Kebakaran hutan bukit di Puncak Jalil: operasi pemadaman masih dijalankan

Kebakaran hutan bukit di Puncak Jalil merebak sehingga 5 ekar

SERI KEMBANGAN, 11 MAC – Kebakaran hutan bukit di Taman Puncak Jalil, di sini dilaporkan merebak sehingga kira-kira lima ekar setakat pukul 9.00 malam tadi, dengan operasi pemadaman masih giat dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM terima panggilan kecemasan pada 4.12 petang; BBP Seri Kembangan tiba sembilan minit kemudian, disokong balai berhampiran.
  • Operasi menggunakan dua aliran paip sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera dan peralatan pemukul api.
  • Tiada mangsa atau kerosakan bangunan dilaporkan; 27 pegawai dan anggota serta FRT, EMRS dan lori tangki air terlibat.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 4.12 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan terus digerakkan dan tiba di lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian.

Bagi mengawal keadaan, operasi berskala besar itu turut mendapat bantuan daripada beberapa balai berhampiran iaitu BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala, dan BBP Subang Jaya.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fadlee Kamaruddin berkata, kebakaran pada awalnya dikesan hanya melibatkan kawasan hutan seluas tiga ekar.

“Namun, api terus merebak dan menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang terbakar kepada lima ekar pada sebelah malam.”

“Kerja-kerja pemadaman sedang giat dilakukan menggunakan kaedah dua aliran paip sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera, di samping penggunaan peralatan pemukul api (fire beater),” katanya lagi.

Menurut beliau, setakat ini insiden berkenaan tidak melibatkan mangsa atau menjejaskan struktur bangunan berhampiran.

Secara keseluruhan, operasi ini melibatkan kekuatan 27 pegawai dan anggota pelbagai pangkat, berserta aset jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dan lori tangki air (Water Tanker).

Turut berada di lokasi bagi menyelaras operasi ialah Pegawai Kanan JBPM, Penolong Penguasa Bomba Nik Mohd Dzarrin Ghifari Azmi.

Pihak bomba turut menasihatkan orang awam agar menjauhi kawasan kebakaran bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.