ALOR SETAR, 10 Februari- Kebakaran melibatkan beberapa buah rumah di Tongkang Yard, Alor Setar dan Kupang, Baling pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini disahkan berpunca daripada penggunaan petrol.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata pihaknya telah mengambil beberapa sampel selepas kebakaran berlaku untuk dianalisis dan dapatan dari Jabatan Kimia menunjukkan terdapat unsur jenayah dalam dua kejadian berkenaan.
"Apabila berlaku kebakaran dan kita akan mengutip sisa-sisa sampel itu dan disimpan untuk mengelakkan ia tidak terjejas dengan unsur-unsur lain.
"Kita menggunakan mesin GC-MS (Gas Chromatography-Mass Spectrometry) untuk menentukan adakah bacaan sisa sampel sama ada mempunyai kaitan dengan petrol atau sebaliknya.
"Setelah menemukan bukti tepat bahawa ia adalah petrol, hasil berkenaan akan diserahkan kepada polis untuk membuktikan tempat berkenaan sengaja dibakar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM Kedah 2025 di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini.
Pada majlis itu, beliau melaksanakan pemakaian tanda pangkat serta penyerahan sijil penghargaan kepada pihak media termasuk RTM.
Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh memaklumkan sembilan kes kebakaran bersiri di Kupang, Baling sejak Disember tahun lepas hingga awal Januari lalu berunsur khianat.
Sementara itu kebakaran yang berlaku di Tongkang Yard hingga meragut dua nyawa juga dipercayai menggunakan petrol sebagai bahan bakar.