Kebakaran belukar di Daro merebak, jejaskan 10 hektar kawasan

Kebakaran belukar di Kampung Penasu, Daro, Mukah

KUCHING, 28 Mac – Kebakaran belukar yang berlaku di Kampung Penasu, Daro, Mukah, telah menjejaskan kawasan seluas kira-kira 10 hektar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca panas dan berangin jadi faktor utama kebakaran merebak dengan cepat.
  • Kebakaran dipercayai bermula dari kebun nanas lalu merebak ke tanah gambut berhampiran.
  • Bomba tiba 1.00 pagi selepas perjalanan kira-kira 100 kilometer dan berjaya memadamkan kira-kira 2 hektar.
  • Operasi gunakan 'fire break' melalui kaedah total flooding, satu aliran 1,200 kaki, pam angkut dan sumber air dari parit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  (BBP) Daro, Hasman Bakar berkata keadaan cuaca panas dan berangin menjadi faktor utama kebakaran itu cepat merebak.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kebun nanas dan merebak ke kawasan tanah gambut berhampiran.

“Pusat gerakan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.53 malam tadi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada 1:00 pagi selepas menempuh perjalanan kira-kira 100 kilometer.

“Sebaik tiba, kita telah berjaya memadamkan kira-kira 2 hektar kawasan. Bagaimanapun, disebabkan angin yang agak kuat pada sebelah pagi, api telah merebak dengan pantas dan kita cuba membuat “fire break” menerusi kaedah “total flooding” pada kawasan yang belum terbakar,” katanya.

Operasi pemadaman dilaksanakan dengan menggunakan satu aliran sepanjang 1,200 kaki dengan satu pancutan pam angkut serta mendapatkan sumber air dari parit berhampiran.

Operasi masih diteruskan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lebih luas.