fb fb fb fb fb

KEB 2024: Tiga agenda jadi fokus utama KEDA

FOTO KEDA

ALOR SETAR, 14 Mac- Tiga agenda menjadi fokus utama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bagi mencapai dan menjayakan matlamat Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

Tiga agenda terbabit ialah pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Pemerkasaan Usahawan; dan Pemilikan Rumah.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata bagi memperkasakan TVET di Kolej KEDA, kerjasama strategik sedang diperkukuhkan bersama institusi awam, swasta dan pihak industri dalam membentuk sinergi pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

Katanya, menerusi Kolej KEDA juga, program lain yang berpontensi untuk dibangunkan iaitu Tahfiz TVET@Kolej KEDA yang telah dijalankan bermula tahun 2022 dengan jumlah pelajar sehingga kini 72 orang dan sembilan Pusat Tahfiz di sekitar negeri Kedah.

Bagi tahun 2024, KEDA yang menerima peruntukkan berjumlah RM175,000 menyasarkan pertambahan sekali ganda iaitu 80 orang pelajar.

"Secara kumulatifnya, Kolej KEDA dijangka menghasilkan 150 graduan di pasaran tenaga mahir bagi tempoh 2022 hingga 2024,"katanya kepada RTM selepas Majlis Perjumpaan Pengurus Besar bersama Warga KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di Jalan Langgar, Alor Setar.

Sementara itu, bagi agenda usahawan pula, tahun ini, KEDA telah menerima peruntukkan sebanyak RM2.851 juta melibatkan tiga projek.

Katanya, 'Way Forward KEDA' terhadap usahawan adalah untuk menjadikan produk usahawan desa ke peringkat antarabangsa dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Manakala bagi pemilikan rumah, KEDA sedang giat membangunkan penempatan terancang melalui Program Pemajuan Kawasan (PPK).

Ketika ini, KEDA mempunyai 56 perumahan terancang Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan tradisional serta empat PPK.

“Bagi saya ia merupakan satu lonjakan ekonomi yang perlu dilakukan oleh kaum Bumiputera untuk mendapat kesaksamaan dalam ekonomi, insya-Allah kita rasa ini merupakan satu platform yang tepat untuk kita menjayakan KEB dan saya harap pelaksanaannya mendapat sokongan yang padu daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan semua yang berkepentingan,"katanya.

Katanya, KEDA turut menyambut baik usaha kerajaan memperkasakan semula agenda ekonomi Bumiputera dalam kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE