fb fb fb fb fb

KEB 2024 tidak hanya terikat soal etnik, malah menjadi agenda nasional - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 1 Mac - Dasar yang dibawa dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 tidak hanya tertumpu dalam aspek etnik semata-mata, malah turut menjadi agenda nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana selain golongan bumiputera, usaha membasmi kemiskinan turut melibatkan kaum lain.

"Agenda itu tidak harus hanya dilihat dari aspek etnik, tetapi ianya menjadi satu agenda nasional dan dalam perkara ini, pihak kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi terus melaksanakannya.

"Apa yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan kita tidak akan memberi ikan tetapi kita memberi kail supaya kail itu dapat mencari ikan tanpa ikan habis, maka ikan yang lain akan diberikan sebagai kesinambungan," katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua KEB 2024, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu diberi peranan lebih besar dalam menterjemah agenda bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Beliau berkata, ini kerana MARA telah banyak membantu meningkatkan pembangunan ekonomi bumiputera.

"Kami menyarankan agar MARA dapat memberikan peranan yang lebih besar selepas KEB 2024 kerana MARA mempunyai aktanya sendiri dan MARA tertakluk kepada perkara 153 dalam perlembagaan.

"Pada hemat saya, MARA telah menjalankan kerja yang cukup baik untuk menterjemahkan agenda bumiputera terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan MARA mesti diberikan peranan yang lebih besar dan utama selepas kongres ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN