KEADILAN ambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang khianat parti

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 MacTindakan saman Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terhadap 16 bekas wakil rakyatnya merupakan isyarat jelas kepada calon parti supaya tidak melanggar bon perjanjian yang telah ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

RINGKASAN BERITA AI
  • PKR memfailkan saman menuntut ganti rugi RM10 juta setiap defendan atas dakwaan melanggar klausa bon parti.
  • Fahmi berkata tindakan susulan kepada keputusan kes Zuraida, untuk mengambil tindakan terhadap yang mengkhianati dan menegakkan keadilan.
  • Klausa bon menetapkan bayaran RM10 juta dalam tujuh hari jika wakil rakyat meninggalkan parti atau menjadi bebas; keahlian defendan ditamatkan.

Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil berkata sebelum PRU14, semua wakil rakyat dan calon KEADILAN telah menandatangani bon dengan parti yang menetapkan tindakan boleh diambil sekiranya mereka melanggar perjanjian tersebut.

“Ini tindakan susulan kepada keputusan yang parti terima apabila parti menyaman Zuraida Kamarudin. Pada waktu itu semua wakil rakyat dan calon parti sebelum PRU14 telah menandatangani bon dengan parti, termasuk saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tindakan parti terhadap individu yang didakwa melanggar perjanjian dengan parti.

Tambah Datuk Fahmi, keputusan dalam kes melibatkan Zuraida menjadi duluan penting sebelum tindakan sama diambil terhadap pihak lain yang didapati mengkhianati parti.

“Tiba masanya kita ambil tindakan terhadap semua yang telah mengkhianati. Ini harus menjadi mesej yang sangat jelas bahawa setelah mereka menandatangani bon itu, mereka tidak boleh mungkir,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tersebut penting bagi memastikan keadilan ditegakkan serta menjadi peringatan kepada semua ahli parti agar mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui.

Semalam, KEADILAN memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang selepas mereka bertindak meninggalkan parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018.

Saman atas dakwaan melanggar syarat bon difailkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti (plaintif) dalam dua tindakan berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi di sini, masing-masing pada 19 dan 27 Februari lepas.

Parti itu menamakan bekas Ahli Parlimen dan ADUN KEADILAN iaitu Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Saifuddin Abdullah dan Datuk R. Santhara Kumar sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr. Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.

Dalam saman itu, KEADILAN mendakwa bahawa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu memaklumkan pada 11 Mac 2020 parti memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan berkuat kuasa serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan bahawa keahlian setiap defendan telah ditamatkan.

Pengurusan kes bagi kedua-dua saman itu ditetapkan pada 17 dan 27 Mac ini.