
KUALA LUMPUR, 3 Mac- Keadaan rakyat Malaysia di negara-negara Asia Barat termasuk negara Teluk ketika ini adalah terkawal dan tiada perancangan evakuasi dilaksanakan setakat ini susulan konflik Amerika Syarikat-Israel-Iran.
- Keadaan rakyat Malaysia di Asia Barat dan negara Teluk terkawal; tiada pelan evakuasi diaktifkan setakat ini.
- Transit rakyat Malaysia terjejas akibat ketiadaan penerbangan dan kos insurans tinggi, khususnya ke Jeddah.
- Wisma Putra membuka bilik gerakan 24 jam dan memantau dengan kerjasama kedutaan; operator umrah bertanggungjawab memastikan kelancaran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebahagian rakyat Malaysia yang berada dalam transit berdepan sedikit kesukaran berikutan ketiadaan penerbangan khususnya ke Jeddah, meskipun ruang udara Arab Saudi masih dibuka.
Menurutnya, situasi itu berpunca daripada kos insurans penerbangan yang tinggi selain terdapat syarikat penerbangan yang menggantung operasi sementara.
“Keadaan masih terkawal. Cuma yang sedikit menyukarkan ialah rakyat kita yang berada dalam transit. Buat masa ini belum ada pelan evakuasi kerana kita sedang meneliti dan memantau keadaan di sana.
“Situasi semasa belum memerlukan kita mengaktifkan pelan evakuasi melibatkan rakyat Malaysia di negara-negara Teluk,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Azahar Hassan di Dewan Negara mengenai isu rakyat Malaysia yang berada di luar negara khususnya mereka yang dalam perjalanan transit atau menunaikan umrah.
Datuk Seri Mohamad memaklumkan Wisma Putra telah membuka bilik gerakan 24 jam bagi memantau situasi rakyat Malaysia dengan kerjasama kedutaan di negara-negara Teluk dan kawasan berhampiran.
Bagi rakyat Malaysia yang menunaikan umrah pula, jelas beliau, syarikat pengendali umrah bertanggungjawab memastikan perjalanan mereka berjalan lancar.