fb fb fb fb fb

KDNK digital lepasi sasaran 25.5 peratus menjelang 2025

Foto hiasan/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Jun-Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) digital disasar akan melepasi sasaran 25.5 peratus menjelang 2025.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata kerajaan optimis mampu melepasi sasaran itu menerusi perluasan penggunaan 5G kepada perkhidmatan selain telekomunikasi.

Jelasnya, Digital Nasional Bhd telah merancang peluasan itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti industri yang memerlukan akses 5G.

Ini sekali gus menyediakan negara ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan teknologi masa depan.  

"Kita buat penumpuan bagaimana kita boleh memastikan setiap kawasan industri ada akses kepada 5G supaya perniagaan baru dalam negara boleh memastikan infrastruktur yang boleh mengguna pakai teknologi baru 5G dan pastikan syarikat kilang mereka ada jentera teknologi baru.

"Dalam keadaan itu kita akan lihat pengeluaran yang lebih dan ini akan mempunyai impak yang terus kepada kadar KDNK negara kita.

"Sasaran kita untuk hujung 2025 adalah 25.5%. tapi saya yakin kalau ada kalau ada penembusan yang lebih tinggi oleh industri, kita boleh lihat sasaran itu lebih tinggi", katanya demikian ketika menjawab soalan dikemukakan ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi mengenai sejauh mana Digital Nasional Berhad dan juga Kementerian merencana dan mempromosi 5G di kawasan luar bandar terutamanya di kampung-kampung sekitar Parlimen Padang Besar.

Setakat penghujung Mei lalu, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencapai 81.7 peratus.

54 peratus daripada keseluruhan tapak rangkaian 5G yang telah dibangunkan ketika ini turut meliputi kawasan separa bandar dan luar bandar.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD