
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai perolehan aset dan program pemodenan bagi meningkatkan keupayaan pengawasan serta kesiapsiagaan operasi.
- Inisiatif melibatkan PDRM termasuk Pasukan Polis Marin, PGA, VAT 69 Komando dan Unit Tindakan Khas.
- Sistem 'Big Eyes' dengan radar dan kamera jarak jauh dipasang di Pulau Ligitan, Tawau untuk pengawasan awal.
- Empat kapal diperoleh untuk Pasukan Polis Marin termasuk sebuah Advanced Technology Vessel di Lahad Datu sedang diproses.
- Perolehan enjin: 65 unit enjin sangkut untuk Polis Marin dan 12 enjin 400 kuasa kuda untuk bot VAT 69 Komando serta UTK.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), VAT 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK).
“Kita menempatkan sistem ‘Big Eyes’ yang dilengkapi radar dan kamera jarak jauh di Pulau Ligitan, Tawau bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pengesanan awal di kawasan berisiko tinggi.
“Ini merangkumi empat buah kapal untuk kegunaan Pasukan Polis Marin PDRM, terdiri daripada sebuah Advanced Technology Vessel (ATV) di Lahad Datu yang kini dalam proses perolehan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, mengenai peruntukan aset baharu kepada ESSCOM serta agensi keselamatan lain bagi memperkukuh kawalan di Pantai Timur Sabah.
Selain itu, KDN turut melaksanakan perolehan 65 unit enjin sangkut (Outboard Motor/OBM) untuk kegunaan Pasukan Polis Marin di Sabah yang kini dalam proses pembekalan.
Menurut Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar, sebanyak 12 unit enjin berkuasa 400 kuasa kuda turut diperoleh bagi melengkapkan bot tempur VAT 69 Komando dan UTK di Sandakan serta Semporna.
Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif itu dijangka meningkatkan keupayaan pengawasan, rondaan dan tindak balas pasukan keselamatan dalam menangani ancaman rentas sempadan serta memastikan keselamatan perairan Pantai Timur Sabah terus terpelihara.