SEGAMAT, 14 Januari - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang untuk membeli aset-aset baharu seperti helikopter dan bot bagi menghadapi kemungkinan banjir pada masa akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata cadangan tersebut berikutan aset sedia ada tidak mencukupi selain ketinggalan daripada segi teknologi.
"Yang pastinya banyak daripada aset-aset kita, contohnya bila keadaan kita nak membantu, baru kita sedar bahawa bot yang kita gunakan telah lama diperolehi.
"Maka, saya dah berbincang dengan IGP dan KSU, kita mahu cari bot yang sesuai dalam keadaan banjir bagi kegunaan pada masa hadapan," katanya dalam sidang media di PULAPOL Segamat, Johor dalam sesi lawatannya ke Muar dan Segamat hari ini.
Bencana banjir kali ini memberi peluang kepada KDN untuk menilai semula keperluan bagi membeli aset baharu, tambahnya lagi.
Mengenai nilai kerosakan yang dialami fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika banjir kali ini, beliau memaklumkan perkara tersebut dapat dilakukan semasa pasca banjir nanti.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi baik pulih kerosakan di Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar.