
PUTRAJAYA, 8 Januari -Pasport serta MyKad baharu bakal diperkenalkan dengan tambahan ciri keselamatan dokumen selaras keperluan semasa.
- Pasport dan MyKad baharu diperkenalkan dengan ciri keselamatan tambahan bagi mengekalkan integriti dokumen.
- Pelaksanaan dijangka bermula penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini.
- Kementerian akan menghebahkan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal sebelum pelaksanaan.
- Dokumen baharu bertujuan mengurangkan risiko pemalsuan dan meningkatkan tahap keselamatan.
- Pasport sedia ada kekal sah sehingga tamat tempoh sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka bermula penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini, selaras dengan hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2026.
Menurut beliau, pasport Malaysia ketika ini berada dalam kelompok terbaik dunia, termasuk dalam 10 pasport paling dipercayai, diukur berdasarkan kemudahan perjalanan tanpa visa atau dengan keperluan visa minimum ke pelbagai negara.
“Jadi kami ada beberapa milestone. Itu penting sebab dokumen passport kita sekarang ini nomber tiga paling terpercaya diukur dari sudut pemegang passport Malaysia tidak memerlukan kelulusan visa untuk travel. Itu kayu ukur yang penting. Semalam saya ditaklimat oleh Ketua Pengarah Imegrisen antara saya dan Datuk KSU, berkenaan dengan status kebolehpercayaan passport kita.
“Jadi kita akan memiliki passport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam enam bulan daripada sekarang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di sini.
Jelas beliau, setiap dokumen keselamatan mempunyai tempoh penggantian tertentu, dan Malaysia kini telah melepasi tempoh yang memerlukan pengeluaran dokumen keselamatan versi baharu bagi memastikan tahap integriti terus terpelihara.
Pasport dan MyKad baharu itu akan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang lebih terjamin, khususnya bagi meningkatkan integriti dokumen serta mengekang risiko pemalsuan.
Sehubungan itu, pihak kementerian akan membuat hebahan awal kepada orang ramai sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaan, bagi mengelakkan orang ramai berpusu-pusu membuat permohonan pasport baharu lebih awal daripada keperluan sebenar.
Beliau turut menegaskan, pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga tempoh sah laku tamat, sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan secara rasmi.