KDN nafi dakwaan JPN ingkar perintah mahkamah isu MyKad remaja

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Kedah, di sini / BERNAMA

ALOR SETAR, 13 Januari -Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan mematuhi arahan mahkamah berhubung pengeluaran MyKad kepada seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDN nafikan JPN enggan patuh arahan mahkamah mengenai pengeluaran MyKad remaja.
  • JPN siasat selepas kesangsian persamaan fizikal dan pendedahan maklumat kelahiran dari hospital swasta.
  • Hospital disenaraihitamkan; proses pendaftaran lewat dan pelaksanaan perintah mahkamah akan diteruskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan itu tidak menggambarkan fakta sebenar kes kerana setiap proses perlu dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang.

Kes berkenaan berada dalam pengetahuan JPN sejak awal apabila ibu bapa remaja terbabit hadir membuat permohonan MyKad.

“Bagaimanapun, pemerhatian awal mendapati remaja terbabit dan individu yang mengaku sebagai ibu bapanya tidak mempunyai persamaan fizikal.

Susulan itu, siasatan lanjut dijalankan dan ibu bapa berkenaan mengakui maklumat kelahiran anak tersebut diperoleh daripada sebuah hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 peringkat Negeri Kedah, di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, hospital berkenaan telah disenaraihitamkan JPN kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengeluaran maklumat kelahiran secara tidak sah.

Tegas beliau, JPN tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan keputusan mahkamah selaras dengan Perkara 14(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

“JPN akan melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah untuk memastikan anak ini memperoleh kewarganegaraan.

Proses akan dimulakan dengan pengeluaran sijil kelahiran secara sah melalui pendaftaran lewat memandangkan remaja terbabit kini berusia 17 tahun,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin menolak tanggapan bahawa sokongan wakil rakyat diperlukan untuk mendapatkan kewarganegaraan, sambil menyifatkannya sebagai tidak tepat.

Beliau berkata, jumlah kes kewarganegaraan tertunggak berjaya dikurangkan daripada kira-kira 50,000 kepada kurang 4,000 kes dalam tempoh tiga tahun.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu memberi tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja terbabit.