fb fb fb fb fb

KDN jamin siasatan telus kes kematian tahanan Penjara Taiping

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution/Foto Fail

SUNGAI PETANI, 11 Februari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus berhubung kes kematian seorang tahanan Penjara Taiping bulan lalu, dipercayai akibat dipukul.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan dengan kerjasama penuh daripada Jabatan Penjara.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan masih berjalan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga sudah memanggil KDN untuk memberikan maklum balas berkaitan insiden terbabit.

Katanya, dalam masa yang sama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut menghubungi beliau untuk menyatakan hasrat berjumpa dengan pihak terbabit.

"Jadi, baik pulih atau jawatankuasa pilihan parlimen ataupun jadi kerjasama penuh. Cuma biar kira selapis-selapis, dia tidak boleh tiba tiba. Biar tertib itu berjalan.

Ini semua menunjukkan bagaimana Jabatan Penjara dalam menunaikan tanggungjawab ketika insiden yang sebegitu berlaku, yang menarik perhatian pelbagai pihak termasuk autoriti dalam negara. Kita memberikan kerjasama," kata Saifuddin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra Prospek Sempena Thaipusam dan Lawatan Kerja ke Penjara Sungai Petani.

Jabatan Penjara sebelum ini mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal.

Pihak polis bagaimanapun telah mengambil keterangan semua pihak yang terlibat.

Sementara itu, seramai 102 prospek (tahanan) Penjara Sungai Petani, Kedah dan ahli keluarga diraikan sempena Hari Thaipusam.
 
Datuk Seri Saifuddin berkata program seumpama itu dapat meningkatkan motivasi prospek lain kerana dapat melihat bahawa jika berkelakuan baik akan diberi penghargaan, sekali gus memberi dorongan kepada mereka untuk berusaha memperbaiki diri.
  
Katanya, program itu diharap dapat memberi peluang kedua kepada prospek, membuktikan bahawa penjara bukan sekadar tempat hukuman, tetapi juga tempat pemulihan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM