SEPANG, 4 Jun - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan menyantuni lebih 100,000 belia di institusi latihan dan pendidikan di seluruh negara menerusi Program Jelajah Kafe Undi 18 sebagai usaha memberi kesedaran, kefahaman dan keyakinan golongan muda terhadap keterlibatan mereka dalam pilihan raya negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Program Jelajah Kafe Undi 18 merupakan sebuah program Literasi Demokrasi yang akan dijalankan oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) sehingga hujung tahun ini.
"Konsep pelaksanaan program jelajah ini dibuat secara berpusat dan bersasar di satu lokasi agar ia dapat memberikan impak yang lebih menyeluruh.
"Siri program jelajah ini dirancang pelaksanaannya mengikut zon merangkumi zon tengah, zon utara, zon timur dan zon selatan di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Kafe Undi 18, di sini hari ini.
(FOTO hiasan)
Ti berkata bagi memastikan objektif program tersebut tercapai, i-LEAD akan berkolaborasi dengan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Sumber Manusia.
Ia turut melibatkan penyertaan kolej matrikulasi, institusi latihan KKM, politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat dan institusi latihan Jabatan Tenaga Manusia.
"Pelaksanaan program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Akademi Pilihan Raya melalui aktiviti pendidikan pengundi dalam usaha untuk memberikan kesedaran dan kefahaman terhadap sistem serta proses pilihan raya yang dijalankan," katanya. - BERNAMA