
ALOR SETAR, 24 Februari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk memperkasa program kepimpinan belia bagi melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.
- Memperkasa program kepimpinan belia untuk melahirkan generasi muda lebih berdaya saing.
- Meningkatkan kebolehpasaran anak muda melalui pembangunan kemahiran berkualiti dan platform riadah.
- Memperkasakan sukan akar umbi serta memperkukuh kerjasama dengan Istana Kedah dalam perancangan belia.
Pada masa sama meningkatkan kebolehpasaran anak muda melalui kemahiran berkualiti, memperkasakan pembangunan sukan akar umbi serta menyediakan lebih banyak platform dan fasiliti riadah untuk manfaat rakyat.
Komitmen itu dizahirkan Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari ketika sesi sembah menghadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.
“Sebagai anak Kedah, patik menzahirkan rasa bertuah dan syukur atas kesempatan untuk mengadap Tuanku serta menyatakan komitmen berterusan Kementerian dalam memperkukuh kebersamaan bersama Istana Kedah demi masa depan generasi muda negeri ini.
“Patik dengan penuh takzim turut menjunjung segala titah, nasihat serta pandangan Tuanku berhubung agenda pembangunan belia dan pemantapan sukan di negeri Kedah yang akan dijadikan pedoman dalam memperhalusi perancangan dan pelaksanaan agenda belia dan sukan di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan semoga Sultan dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff sentiasa dikurniakan keafiatan, kebijaksanaan berterusan serta dilimpahi rahmat dan lindungan Allah SWT dalam memerintah negeri Kedah.