fb fb fb fb fb

'Kayuhan Santai Anak Perlis' promosi pelancongan sukan

Program Kayuhan Santai Anak Perlis promosi pelancongan sukan

KANGAR, 10 Disember- Aktiviti yang lasak serta mencabar keupayaan fizikal dan mental, menjadikan sukan berbasikal semakin popular di seluruh negara ketika ini termasuk di utara tanah air.

Dalam konteks sukan dan rekreasi, berbasikal boleh dijadikan sebagai pelancongan sukan sebagai nilai tambah dalam mempromosikan destinasi pelancongan dan keindahan serta keunikan sesebuah negeri kepada pengunjung.

Presiden GP8 Cycling Team merangkap Pengerusi Penganjur Kayuhan Santai Anak Perlis, Norzi Samad memaklumkan, dalam usaha mempromosi dan menyokong Tahun Melawat Perlis 2024-2025, seramai 66 peserta menyertai Program Kayuhan Santai Anak Perlis sekitar negeri Perlis.

Program yang akan dilaksanakan secara berkala setiap bulan menghimpunkan individu yang berminat dalam aktiviti berbasikal mewakili persatuan atau pertubuhan mahupun secara persendirian.

"Inisiatif melaksanakan kayuhan santai ini berikutan sambutan menggalakkan diterima daripada peminat aktiviti berbasikal, berbasikal menjadi rutin seharian yang boleh dilihat sekitar negeri Perlis sehinggakan laluan khas berbasikal diwujudkan selain penglibatan Raja Muda Pelis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam aktiviti berbasikal", katanya.

Beliau memaklumkannya pada pelancaran Program Kayuhan Santai Anak Perlis sejauh 20 kilometer dan 66 kilometer sekitar Kangar sehingga Padang Besar yang dilancarkan ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling di Laman Woodball Dataran Dato Sheikh Ahmad.

Bagi memeriahkan program, Gan Ay Ling turut menyertai kayuhan sejauh 20 kilometer yang turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah kepada peserta terlibat.

Program dianjurkan Nyorok Cafe dengan kerjasama GP8 Cycling Team sebagai perintis kayuhan kali ini.

ROSLINA BINTI DIN