
IPOH, 24 Januari – Sebanyak RM600,000 diperuntuk Kementerian Perpaduan Negara kepada 120 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam usaha memperkukuhkan aktiviti
di bawah Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI di seluruh negara tahun ini.
- Peruntukan RM600,000 diberikan kepada 120 KRT untuk memperkukuhkan aktiviti Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI.
- Jumlah KRT Progresif meningkat kepada 301 berbanding 152 pada 2024 melalui peruntukan RM16 juta pada 2025.
- Sebanyak 529 produk ekonomi KRT berjaya dipasarkan merangkumi pertanian, makanan, bukan makanan, pelancongan dan kraftangan.
Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang, berkata KRT merupakan nadi perpaduan di peringkat setempat dan dengan sokongan kerajaan serta kerjasama semua pihak, komuniti mampu menjadi agen perubahan dalam membina masyarakat yang harmoni, inklusif dan sejahtera.
”Sudah tentu bagi kementerian, kita akan menumpukan kepada kawasan rukun tetangga adalah jentera utama.
”Kalau kita melihat kepada agensi-agensi lain seperti JAKIM, FELDA contohnya, mereka akan menumpukan kepada ejen-ejen mereka juga.

Tambah beliau, sebanyak 301 KRT telah berjaya dijadikan KRT Progresif berbanding 152 pada tahun 2024 melalui peruntukan sebanyak RM16 juta
pada tahun 2025.
Dalam tempoh sama, sebanyak 529 produk ekonomi KRT berjaya dipasarkan, merangkumi produk pertanian, makanan, bukan makanan, pelancongan dan
kraftangan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan cek cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026 (Kluster Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di Ipoh.
Penyerahan cek cura tersebut juga merupakan sumbangan khas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada komuniti sebagai simbol keprihatinan dan komitmen kepimpinan negara untuk memastikan manfaat pembangunan dan inisiatif kerajaan terus sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.