fb fb fb fb fb

Kawalan sempadan di Kedah sentiasa dipertingkat - MKN

Foto FB MKN Kedah

ALOR SETAR, 21 Mac- Kawalan keselamatan di sempadan negara melibatkan laluan darat, laut dan udara di Kedah sentiasa dipertingkat dan berada pada tahap yang tinggi.
 
Penguatkuasaan itu bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama menjelang musim perayaan Aidilftri dapat dibanteras dengan sebaik mungkin.
 
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah, Zuraini Mohd Yusof berkata pihaknya sentiasa berkolaborasi dengan semua agensi dan jabatan keselamatan yang terlibat secara langsung mengawal sempadan negara.
 
Beliau berkata agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bekerjasama rapat dengan MKN, selaku penyelaras dalam melaksanakan operasi bersepadu secara menyeluruh.
 
Katanya, pencerobohan dan penyeludupan PATI menjadi antara fokus utama MKN walaupun aktiviti tersebut di Kedah masih berada pada tahap minimum berbanding negeri lain.
 
"Memandangkan Kedah ini adalah negeri yang mempunyai sempadan paling besar di Semenanjung Malaysia, jadi kita beri tumpuan terhadap keselamatan di sempadanlah.

"Fokus kita adalah operasi menyeluruh rentas agensi bagi memastikan supaya keselamatan di sempadan terjaga dan mengelakkan pencerobohan daripada PATI," kata Zuraini kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemupukan Minda Keselamatan Melalui Permainan Papan Bersama Pengamal Media Kedah, di sini.
 
Permainan Papan merupakan inisiatif baharu MKN Kedah dalam usaha untuk memupuk minda keselamatan dalam kalangan masyarakat di samping menyebar luas Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM