
- Pendekatan regulatory sandbox digunakan untuk menguji mekanisme kawal selia platform media sosial sebelum pelaksanaan penuh.
- ONSA 2025 fokus kawal selia kandungan berbahaya dan membenarkan pelaksanaan had umur bersama Akta Komunikasi dan Multimedia.
- Penubuhan CERT untuk kajian berbilang pihak dan penyampaian dapatan kepada Jemaah Menteri.
KUALA LUMPUR, 15 Januari – Kerajaan sedang melaksanakan pendekatan regulatory sandbox atau medan ujian regulatori bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial, termasuk pelaksanaan had umur, sebelum sebarang pelaksanaan penuh dibuat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kawal selia dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan tanpa mengekang inovasi teknologi.
Menurutnya, beberapa platform media sosial telah mengadakan perbincangan secara proaktif dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara tersebut.
“Proses medan ujian regulatori dan perbincangan dengan platform media sosial sedang berjalan dan setakat ini kerjasama yang diberikan adalah baik,” katanya selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT) di sini, hari ini.
Sementara itu, Datuk Fahmi berkata Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 memberi tumpuan kepada kawal selia platform media sosial.
Ini termasuk arahan melarang kandungan memudaratkan seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, iklan judi, penipuan dan jenayah dalam talian.
Akta itu juga membolehkan pengenaan peraturan lain termasuk had umur, yang akan dilaksanakan bersama Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melalui proses pelesenan platform media sosial.
“Dua akta ini dibaca bersama bagi memastikan pematuhan terhadap had umur umum 16 tahun,” katanya.
Mengulas mengenai CERT, Datuk Fahmi berkata ia merupakan sebuah pusat kajian yang akan ditempatkan bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) dengan bantuan serta kelolaan MCMC.
Beliau berkata hasil dan dapatan kajian CERT yang membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan termasuk badan kaji selidik dari rantau Asia Tenggara akan dibawa kepada Jemaah Menteri.