Kastam Johor sita 42 kereta mewah

Antara rampasan JKDM Johor

JOHOR BAHRU, 23 Februari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan sindiket import kereta mewah selepas menahan empat pemilik syarikat dalam serbuan di sini pada 5 Januari hingga 6 Februari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM Johor menahan empat pemilik syarikat berhubung sindiket import kereta mewah.
  • 42 kenderaan mewah disita, nilai keseluruhan termasuk cukai melebih RM22 juta.
  • 21 kes dibuka dan 341 pemeriksaan dijalankan mengikut pelbagai seksyen Akta Kastam 1967.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata sebanyak 42 buah kenderaan mewah disita dengan nilai keseluruhan termasuk cukai melebihi RM22 juta.

Siasatan mendapati permit import (AP) kenderaan berkenaan berasal dari pelbagai negara termasuk Jepun dan United Kingdom.

“Kereta-kereta ini diimport tanpa pembayaran cukai yang sepatutnya. Setiap kenderaan diberikan tempoh 24 bulan untuk disimpan dan sekiranya permohonan lanjutan dibuat, tempoh boleh dilanjutkan sehingga 48 bulan.

“Bagi kenderaan yang melebihi 48 bulan atau tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan duti dan cukai dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Johor.

JKDM turut melakukan 341 pemeriksaan membabitkan premis gudang kereta mewah berlesen dan rondaan darat.

Daripada jumlah itu, 21 kes dibuka bagi siasatan mengikut Seksyen 65, Seksyen 75 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.