(Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman (tengah) merasmikan Pelaksanaan Inisiatif Belia Prihatin Alam Sekitar: Penanaman 500 Pokok Bakau Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022)
NIBONG TEBAL, 4 Jun - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan sejuta pokok bakau ditanam di seluruh negara menjelang tahun 2030.
Ia merupakan usaha memelihara dan memulihara pokok yang menjadi habitat kepada ekosistem alam sekitar itu.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, setakat ini kira-kira 300,000 pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara sejak usaha itu dimulakan tahun lalu.
“Sebenarnya penanaman pokok bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai, malah dapat memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang dan ketam dapat membiak, ini meningkatkan stok sumber perikanan setempat serta ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
(Para peserta menanam pokok bakau bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022)
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pelaksanaan Inisiatif Belia Prihatin Alam Sekitar: Penanaman 500 Pokok Bakau Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, anjuran Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) dan Kelab Belia Prihatin Malaysia di Pusat Pendidikan Hutan Paya Laut Sungai Acheh, di sini.
Menurut beliau, usaha tersebut mampu membantu menangani masalah hakisan pantai dan memulihara habitat asal untuk terus membiak.
Ia secara tidak langsung jelasnya akan meningkatkan bekalan sumber perikanan dan ekonomi penduduk setempat.
Dalam majlis tersebut sebanyak 500 pokok bakau berjaya ditanam dengan penglibatan kira-kira 100 peserta.