
KANGAR, 18 Januari – Penganjuran Karnival MADANI: Menyemai Kasih, Menyantuni Komuniti, satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi manfaat yang menyeluruh dan impak berpanjangan kepada komuniti setempat, serta mengukuhkan hubungan antara semua pihak yang terlibat.
- Perniagaan Karnival MADANI mengeratkan hubungan antara KKM, agensi dan komuniti setempat melalui pertemuan terbuka dan interaksi mesra.
- Aktiviti kemasyarakatan dan sukan rakyat digalakkan untuk menyemai kerjasama, semangat kekitaan serta hubungan antara generasi.
- Pengiktirafan Kampung dan Sekolah Angkat MADANI diwujudkan untuk memperkukuh pembangunan komuniti dan meningkatkan kualiti pembelajaran.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif ini menyediakan ruang pertemuan terbuka dan mesra untuk interaksi serta bertukar pandangan antara agensi pelaksana dan masyarakat setempat.
Peluang tersebut wajar dimanfaatkan secara optimum melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukan rakyat supaya hubungan antara generasi dapat dieratkan, di samping menyemai nilai kerjasama, semangat kekitaan serta sikap saling menghormati antara satu sama lain.
Titah Baginda, masyarakat digalakkan agar menggunakan peluang yang disediakan untuk membentuk amalan hidup sihat dan aktif khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.
”Penglibatan berterusan dalam aktiviti fizikal mampu membantu meningkatkan tahap kesihatan, selain membina disiplin diri, kesedaran terhadap keseimbangan hidup serta kepentingan penjagaan kesejahteraan sejak peringkat awal”, titah Baginda.
Demikian titah Baginda sempena Majlis Penutupan Karnival MADANI: Menyemai Kasih, Menyantuni Komuniti di Sekolah Kebangsaan Santan.
Pengiktirafan Kampung Santan Selatan sebagai Kampung Angkat Madani dan Sekolah Kebangsaan Santan sebagai Sekolah Angkat MADANI yang merupakan peluang keemasan digunakan sebaiknya oleh semua pihak.
Sokongan serta kemudahan yang disalurkan perlu digunakan dengan berkesan bagi mengukuhkan pembangunan komuniti dan mempertingkatkan kualiti pembelajaran.