KUALA LUMPUR, 12 September - Sambutan Maulidur Rasul 2024 bakal disambut dengan tema "Al-Falah Pemacu Malaysia Madani" mengetengahkan pelbagai program termasuk karnival 'healing de masjid' selama tiga hari.
Imam besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias berkata, karnival 'healing de masjid' bermula dari 13 hingga 15 September ini di dua masjid utama di Putrajaya.
Katanya, karnival itu merupakan satu pendekatan buat umat Islam dengan pengisian pelbagai program ilmiah dan aktiviti kerohanian bagi mendorong masyarakat untuk memperkukuh sifat Al-Falah, iaitu kejayaan dan kesejahteraan hidup, dalam usaha membina sebuah negara yang sejahtera.
"Program-program ini dapat menggalakkan konsep 'healing di masjid' yang menekankan peranan masjid sebagai pusat ketenangan rohani serta penyembuhan jiwa bagi masyarakat Islam.
"Bermula pada 13 September, iaitu esok, hingga 15 September, kita akan mengadakan pelbagai acara menarik. Kemuncaknya pada malam Isnin, 15 September di Masjid Putra yang mana kita akan mengadakan Majlis Selawat Perdana dengan jemputan pentausiyah terkenal serta kehadiran Menteri Agama,"katanya ketika ditemui di Angkasapuri selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM).
Antara program yang bakal mencuri tumpuan adalah Malam Kesenian Islam dan Santai Sirah Nabi, yang dijangka mendapat sambutan hangat daripada masyarakat.