fb fb fb fb fb

Karnival Baca Perdana, tingkat amalan membaca dalam masyarakat

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

PUTRAJAYA, 23 April- Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Karnival Baca Perdana pada Julai depan, dalam usaha melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca.

Program yang julung kali diadakan berkonsepkan karnival buku, dengan pelbagai aktiviti galakan membaca dirancang bakal dilaksana sepanjang bulan Julai.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang memberitahu penganjurannya bertujuan untuk menghidupkan semula "Kempen Bulan Membaca Kebangsaan" yang pernah dilaksana suatu masa dahulu dengan tanda pagar #bacasamasama.

"Pelaksanaannya sejajar dengan hasrat melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu pengetahuan (knowledge based society)dan berbudaya nilai tinggi serta menyokong penuh gagasan Dekad Membaca Kebangsaan yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Pembaca menjelang tahun 2030 dan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030," kata Datuk Aaron kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit 2024, di sini.

Program itu dilaksanakan sempena Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia yang jatuh pada 23 April setiap tahun.

Tambahnya, kadar pembacaan dalam kalangan rakyat juga telah meningkat daripada 15 naskhah pada tahun 2014 kepada 24 naskhah setahun pada tahun 2022/2023.

Peningkatan itu hasil daripada pelbagai program pemerkasaan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM