
KUALA LUMPUR, 21 Januari -Kapasiti simpanan empangan di Malaysia perlu ditingkatkan bagi memastikan bekalan air negara kekal mampan susulan perubahan corak iklim yang semakin tidak menentu.
- Kapasiti simpanan empangan perlu ditingkatkan untuk menampung perubahan corak iklim dan musim kemarau lebih panjang.
- Peningkatan kapasiti bantu jamin bekalan air semasa kemarau dan kurangkan risiko banjir ketika hujan lebat.
- Perancangan memerlukan kawasan tadahan lebih luas dan pendekatan menyeluruh sesuai dengan realiti iklim semasa.
- Peningkatan boleh dicapai melalui menaikkan struktur empangan, tetapi empangan lama hadkan kaedah teknikal tertentu.
Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kebanyakan empangan sedia ada di negara ini direka bentuk berdasarkan piawaian kejuruteraan British ketika era awal pembangunannya.
Reka bentuk tersebut menetapkan tempoh simpanan air sekitar 100 hari atau kira-kira tiga bulan, selaras dengan corak musim kemarau pada ketika itu.
“Dulu, musim kemarau lazimnya berlangsung sekitar 100 hari, jadi empangan direka untuk menyimpan air bagi tempoh tersebut. Namun, dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, kesan perubahan iklim menyebabkan musim kemarau boleh berlanjutan sehingga empat, lima malah enam bulan.
“Saya pernah mencadangkan supaya kapasiti penyimpanan ditingkatkan kepada enam bulan agar kita boleh simpan lebih banyak air semasa musim hujan dan mengurangkan risiko banjir,” katanya kepada pemberita selepas Forum PAAB bersama media dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI), di sini.
Pada majlis berkenaan, PAAB turut melancarkan logo Ulang Tahun ke-20 bersempena 20 tahun penubuhannya, dengan sambutan ulang tahun berkenaan dijadualkan pada 5 Mei 2026.
Ia ditubuhkan pada 2006 bawah Akta Industri Perkhidmatan Air sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan industri air Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti simpanan bukan sahaja membantu menjamin bekalan air semasa kemarau, malah berupaya mengurangkan risiko banjir.
“Kita lihat sekarang hujan lebat bukan lagi sekitar 200 milimeter sehari, tetapi boleh mencecah sehingga 500 milimeter. Jika empangan masih menggunakan saiz dan kapasiti lama, air akan melimpah dan menyumbang kepada kejadian banjir,” katanya.
Datuk Seri Ir. Jaseni berkata, peningkatan kapasiti empangan memerlukan kawasan tadahan yang lebih luas bagi mengumpul air hujan, sekali gus menuntut pendekatan perancangan yang lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan realiti iklim semasa.
Mengulas pelaksanaan di peringkat negeri, Datuk Seri Ir. Jaseni berkata, pendekatan tersebut telah dilaksanakan di Pulau Pinang melalui projek menaik taraf Empangan Mengkuang yang menyaksikan kapasiti simpanannya ditambah dengan meningkatkan ketinggian empangan berkenaan.
Beliau berkata, bagi empangan tertentu, kapasiti simpanan boleh ditingkatkan dengan hanya menaikkan struktur empangan tetapi kaedah itu lebih sesuai untuk empangan yang lebih baharu, manakala empangan lama mempunyai kekangan teknikal.