fb fb fb fb fb

Kapal pertama LCS akan diserah kepada TLDM pada Ogos 2026

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/Foto RTM

LUMUT, 4 Jun- Kapal Tempur Pesisir (LCS)pertama akan ditauliahkan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebelum pentauliahan kapal yang diberi nama LCS 1 Maharaja Lela itu perlu menjalani ujian di pelabuhan dan pelayaran.

Jelasnya, penyambungan semula projek pembinaan LCS yang tergendala sebelum ini berjalan mengikut perancangan ditetapkan.

LCS 1 Maharaja Lela sebelum ini telah melalui proses reka bentuk, pembinaan dan peralatan.

"Sekurang-kurangnya kapal telah diluncur maknanya kapal berkenaan akan bermula kepada peringkat keempat iaitu 'Trial all the trial' maksudnya ujian-ujian di laut air masin ombak", katanya demikian etika sidang media selepas meninjau pelaksanaan pembinaan kapal LCS 1 Maharaja Lela di Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini.

Tambah Khaled, status kemajuan pembinaan empat lagi kapal LCS pula telah mencapai 50 dan 60 peratus.

Sementara itu, lima aris nahas helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut 23 April lalu menerima sumbangan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sumbangan disampaikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada satu majlis di Serambi Markas Pemerintahan Armada Barat.

Ditemui selepas majlis tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata insiden tersebut akan menjadi panduan kepada pihaknya agar perkara sama tidak berulang.

"Kita akan melihat dan belajar daripada pengalaman soal keluarga semuanya kita telah uruskan dengan baik. Kita tahu bahawa kemalangan sesuatu yang tidak dapat dijangka dan di elakkan.

"Kita akan pastikan supaya segala yang kita belajar dari insiden ini akan jadi panduan dan pengajaran",katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa  helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan AS 555 SN Fennec yang terlibat dalam nahas akan dilupuskan.

Kedua-duanya tidak boleh dibaik pulih untuk digunakan dalam operasi TDLM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD