PULAU PINANG, 30 November- Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) dalam proses percubaan laut selama empat hari sehingga esok bagi menguji kemampuannya sebelum aset itu diserahkan secara rasmi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, OPV1 ketika ini berada di perairan sini bersama kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Maritim Malaysia sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
"Pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa sea trial (percubaan laut) terhadap OPV1 dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.
"Kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi," katanya dalam kenyataan hari ini.
OPV1 bernombor 8305 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.