fb fb fb fb fb

Kapal Peronda Luar Pesisir pertama diserahkan kepada KDN

Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7.

PELABUHAN KLANG, 3 Januari- Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasminya diserahkan oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dalam kenyataannya berkata, penyerahan secara rasmi itu membolehkan ia diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan carilamat.

"Penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian ini khususnya kerajaan Madani kerana berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan akibat COVID-19 selain proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport dari negara luar.

"OPV1 ini dibina menggunakan reka bentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

"Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7," katanya.

Menurut Ruji, ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti Bantuan Kemanusiaan dan Bencana, bertindak sebagai Kapal Logistik, Kapal Mothership, Kapal Pemerintah, serta menjadi tempat penyimpanan peralatan pencemaran minyak.

Terdahulu, Ruji hadir ke Majlis Penyerahan OPV1 kepada KDN di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin serta Pengerusi TH Heavy Engineering Berhad, Datuk Jauhari Hamidi.

Ruji berkata kapal berkenaan boleh mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.

Ia turut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Dan Fast Interceptor Craft.

"OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 anak kapal dalam satu-satu masa operasi.

"Berdasarkan kehebatan yang ada pada kapal berkenaan, ia diharapkan mampu membantu APMM memperkasakan lagi pengoperasian agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI