PUTRAJAYA, 10 Oktober- Soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan dua kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India dan dari destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia.
Namun semuanya mengikut protokol yang dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.
Jelas Fahmi, kebiasaannya kedutaan atau pewakilan asing bagi negara tersebut akan berhubung untuk melakukan beberapa aktiviti dan niatnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
Beliau bercakap kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di Putrajaya hari ini.
Fahmi dalam pada itu kesal dengan sikap segelintir warganet yang cuba menggunakan sentimen perkauman dan kebencian dalam isu berkenaan.
Polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) katanya akan meneliti perkara ini.
Tindakan akan diambil kepada mereka (warganet) terutama yang menyebarkan maklumat palsu bukan hanya lawatan (kapal perang) tapi sebarang perkara lain sekalipun.