Kapal nelayan tempatan langgar syarat lesen ditahan

FOTO APMM KEDAH PERLIS

LANGKAWI, 17 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang telah melanggar syarat sah lesen dalam satu rondaan rutin OP AMAN, OP TIRIS 3.0, OP GUARD 5.0, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 di kedudukan lebih kurang 6.1 batu nautika Barat Laut Pulau Payar pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vessel nelayan tempatan ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen semasa rondaan OP AMAN dan operasi berkaitan.
  • Pemeriksaan mengesyaki kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 berkaitan pelanggaran syarat lesen.
  • Nilai rampasan dianggar RM330,000; kapal, barang kes dan tiga kru dibawa ke jeti Maritim untuk siasatan.
  • Maritim Malaysia tetap tidak berkompromi dan menggesa orang ramai melapor aktiviti jenayah atau kecemasan laut.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, kapal nelayan tempatan terbabit bersama tekong dan dua orang kru warganegara Malaysia yang berumur antara 30 hingga 34 tahun ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM330,000 dan kapal berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau situasi kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 bagi membolehkan tindakan segera diambil.