fb fb fb fb fb

Kapal APMM OPV1 dinamakan KM Tun Fatimah

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua, kanan) di majlis menyempurnakan penamaan Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching / Foto APMM

KUCHING, 2 Mac - Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dinamakan sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.

Upacara penamaan itu telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Jeti Lembaga Pelabuhan Kuching, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan nama Tun Fatimah itu adalah berdasarkan sifat kepimpinan dan keberanian permaisuri Melaka itu.

Mengikut catatan sejarah, isteri kepada Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah serta puteri kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir itu turut serta dalam siri serangan armada Melaka ke atas Portugis bagi merampas kembali pemerintahan.

“Mengambil semangat yang ada pada Tun Fatimah, kapal berkenaan telah diletakkan di Laut China Selatan bagi menangani isu keselamatan sempadan perairan negara selain turut berperanan sebagai mothership kepada bot peronda Maritim Malaysia yang ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan tersebut.

"Biasanya, tradisi menamakan kapal ini kita akan ambil dari nama laut, teluk, selat atau nama bandar tetapi kali ini kita guna nama seorang tokoh,” katanya selepas menghadiri majlis upacara penamaan kapal itu.

OPV1 yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu mampu mencapai kelajuan 21 knot dengan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.

Selain dihantar bagi menjaga keselamatan sempadan perairan negara, KM Tun Fatimah berperanan untuk mengurangkan pencerobohan Bot Nelayan Asing (BNA) di kawasan perairan negara.

Berdasarkan statistik lima tahun yang telah direkodkan pihak Maritim Malaysia bermula 2019 hingga 2023, sebanyak 533 kes adalah melibatkan penahanan BNA dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 406 buah bot adalah BNA Vietnam.

Bagi nilai rampasan, Kerajaan telah berjaya menyelamatkan lebih RM6 bilion sumber perikanan negara daripada dirampas oleh BNA Vietnam sekaligus dapat menjaga sumber perikanan negara untuk generasi akan datang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN