
BANGI, 11 Januari – Sebuah kantin di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Bandar Baru Bangi, Persiaran Kemajuan Seksyen 16, di sini, terbakar dalam satu kejadian petang SABTU.
- Kebakaran melibatkan bangunan kelas A kantin seluas kira-kira 40 x 80 kaki persegi.
- Anggota bomba dari BBP Bangi dan Kajang jalankan pemadaman, 17 anggota serta tiga jentera dikerahkan.
- Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.49 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Shaiful Bahrin Samad, kebakaran melibatkan bangunan kelas A yang menempatkan kantin sekolah berkeluasan kira-kira 40 x 80 kaki persegi.
“Kira-kira 80 peratus struktur bangunan terbakar dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dengan bantuan BBP Kajang, melibatkan seramai 17 anggota serta penggunaan dua jentera FRT dan sebuah Water Tanker.
Tambah beliau, kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran telah dijalankan bagi memastikan api tidak merebak ke bangunan berdekatan.
Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.