fb fb fb fb fb

Kanak-kanak warga Thailand ditemukan lemas di Sungai Golok

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 2 April- Seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand ditemukan lemas di Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.18 petang bahawa mangsa yang beralamat di Kampung Ibrahim Pencen, Rantau Panjang telah hilang di sungai itu.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Azmi Jaafar yang turut dibantu pihak polis Thailand dan orang kampung di sempadan negara itu.

“Pihak skuba Thailand telah hadir ke lokasi pada 6.45 petang itu dan melakukan selaman SAR, selain dibantu pasukan Pasukan Penyelamat di Air Pengkalan Kubor, di sini, sebelum mangsa dijumpai pada 10.38 malam oleh pihak skuba Thailand di sebelah sempadan negara itu," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Thailand dan komander operasi telah menyerahkannya kepada pihak polis Thailand.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI