Kanak-kanak tiga tahun maut dalam kebakaran rumah di Banting

JBPM

SHAH ALAM, 6 Februari- Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Seri Cheeding, Banting dekat sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang kanak-kanak tiga tahun ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Seri Cheeding.
  • Kebakaran yang melibatkan tiga rumah berjaya dikawal sekitar 3.30 pagi.
  • Operasi melibatkan tiga balai bomba: Teluk Panglima Garang, Banting dan BBP KLIA.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima makluman kejadian itu pada 2.44 pagi.

“Maklumat awal menyatakan seorang kanak-kanak terperangkap di dalam rumah.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 3.30 pagi dan mangsa dijumpai dalam keadaan rentung pada 4.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan melibatkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, BBP Banting dan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata pemeriksaan awal mendapati berlaku litar pintas di sebuah rumah.

Beliau berkata kanak-kanak itu ialah anak kepada penyewa rumah terbabit.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -BERNAMA