fb fb fb fb fb

Beri perhatian khusus kepada kanak-kanak, elak masalah mental

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Perhatian lebih khusus perlu diberikan kepada isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak bawah umur kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Menurut beliau pengabaian itu boleh menjadi punca peningkatan kes jenayah seperti ketagihan seksual dalam kelompok berkenaan.

Sehubungan itu usaha kolaboratif antara penguatkuasa undang-undang dan pakar perubatan perlu diperkasa untuk mengelakkan isu tersebut bertambah buruk.

"Kesihatan mental khususnya dalam kalangan kanak-kanak sesuatu yang harus kita lihat dan kaji bersama-sama.

"Kami menghadapi permasalahan ini tetapi kami tidak mengenal pasti punca untuk memulihkan mereka. Kalau seawal lima tahun sudah sakit mental, ianya sukar. Mereka akan terus membesar dalam masyarakat dengan keadaan tertekan," katanya dalam Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia di ibu negara.

Ulasan berkenaan diberikan merujuk kepada kes baru-baru ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menunjukkan tingkah laku membimbangkan terhadap adik kembarnya.

Ia selepas kanak-kanak terbabit berulang kali terdedah kepada aktiviti seksual ibunya bersama teman lelakinya.

Pada masa sama, Shuhaily tidak menolak kemudahan akses kepada laman web pornografi tanpa pemantauan turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI