ALOR SETAR, 11 Januari- Seorang kanak-kanak lelaki autistik, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle, 7, yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa di sini semalam, ditemukan lemas di Sungai Kedah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Siti Nor Salawati berkata mangsa ditemukan pada kira-kira pukul 8.15 pagi tadi selepas operasi mencari disambung semula hari ini.
Mayat Firash Daniel dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya berhampiran tebing sungai.
Menurut Siti Nor Salawati, ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya pada pukul 4.30 petang semalam dan segera melaporkan kejadian kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Operasi mencari dimulakan pada pukul 6.00 petang melibatkan 30 anggota yang tertumpu di kawasan taman perumahan, pesisir Sungai Kedah dan kawasan sekitar.
Pada petang kejadian, ibu mangsa menemukan pakaian dan kasut Firash Daniel di tepi longkang kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
Longkang tersebut berkedalaman antara satu hingga 1.5 meter dan mengalirkan air ke Sungai Kedah yang terletak di belakang Muzium Negeri.
Kes tersebut diklasifkasikan sebagai kematian mengejut.