KEMAMAN, 25 November- Seorang kakitangan sebuah universiti awam cedera parah selepas ditimpa dahan pokok yang patah ketika berada di satu kawasan kebun dekat Bukit Kemuning Kijal di sini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.00 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 11.30 pagi tadi.
"Semasa kejadian tiada hujan, tetapi disebabkan hujan berlaku hampir seminggu ini menyebabkan, himpunan air di dahan-dahan pokok.
"Ia menyebabkan dahan pokok berat dan tidak mampu ditampung menyebabkannya patah. Walaupun tiada kejadian angin ribut dahan-dahan ini mudah patah kerana ianya menampung air hujan dalam tempoh seminggu," katanya kepada pemberita di sini.
Mangsa merupakan seorang wanita berusia 35 tahun dikatakan masuk ke kawasan itu bersama-sama enam lagi kakitangan dan 45 penuntut sebuah universiti awam.
Ketika kejadian kesemua mereka yang merupakan kakitangan dan penuntut bidang Geologi dipercayai ke kawasan berkenaan untuk menjalankan satu kajian.
Menurut Hanyan, rakan mangsa yang melihat kejadian itu terus menghubungi pasukan perubatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kijal Kemaman.
Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan sedang dilakukan.
Bagaimanapun orang awam dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti luar membabitkan kawasan berisiko seperti hutan, sungai dan laut pada musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.