fb fb fb fb fb

Kakitangan pejabat daerah diharap ambil berat keperluan rakyat - Raja Muda Selangor

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melafaz titah perasmian Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA, 19 Jun- Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap seluruh warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Petaling mengambil berat akan keperluan rakyat yang mendapatkan perkhidmatan disediakan.

Titah baginda, penyediaan ruang menunggu lebih selesa dan luas, dilengkapi sistem penghawa dingin, bahan-bahan bacaan untuk awam dapat memberikan gambaran baik kepada rakyat apatah lagi dengan usaha warga kerjanya untuk memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat di daerah Petaling.

"Dengan peningkatan dari segi kemudahan dan perkhidmatan disediakan, beta percaya setiap urusan akan dipermudahkan dan jangka masa memproses permohonan akan menjadi lebih cepat demi memberi kepuasan kepada rakyat.

"Beta juga mahu semua pegawai dan kakitangan kerajaan berkhidmat di negeri Selangor hendaklah sentiasa bersifat mesra dan mendengar masalah yang dihadapi rakyat negeri Selangor," titah baginda.

Baginda berkenan melafazkan titah perasmian Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling Jaya itu sebelum menandatangani plak perasmian kompleks itu sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Tengku Amir Shah bertitah, sehubungan dengan itu, pegawai daerah, pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat daerah hendaklah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah iaitu wakil kepada Sultan Selangor di setiap daerah di Selangor supaya dapat sama-sama memajukan daerah masing-masing dan membantu mengatasi masalah dihadapi rakyat.

"Pegawai dan kakitangan kerajaanlah bertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar yang telah digubal oleh kerajaan demi untuk kepentingan semua warga Selangor.

"Sesungguhnya bagaimana elok sekali pun sesuatu dasar telah digubal ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan," titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah, sebagai pelaksana dasar, rakyat menaruh harapan tinggi kepada pejabat daerah.

Justeru baginda berharap masalah dikemukakan rakyat perlu diselami dan diselesaikan dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar tersebut perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat," titah baginda lagi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI