
SHAH ALAM, 29 Januari -Kajian terperinci sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor bagi menilai bekalan dan keperluan daging babi di negeri ini susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- Kajian terperinci dijalankan untuk menilai keperluan dan bekalan daging babi di Selangor.
- Tujuan kajian memastikan penutupan penternakan Tanjung Sepat tidak ganggu bekalan atau harga pengguna.
- Kajian juga akan kenal pasti sumber alternatif jika penutupan operasi dilaksanakan.
- Kerajaan risau kesan bergantung kepada import yang boleh meningkatkan harga dan menjejaskan kestabilan.
Kajian berkenaan bertujuan memastikan sebarang keputusan berhubung penutupan operasi penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat tidak menjejaskan bekalan serta kestabilan harga kepada pengguna.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kajian itu meliputi jumlah keperluan sebenar daging babi di Selangor serta mengenal pasti sumber alternatif sekiranya penutupan dilaksanakan.
“Titah Tuanku supaya kajian dibuat dan ia sedang dilaksanakan. Penutupan cuba dilaksanakan secepat mungkin tahun ini, namun kesannya perlu dinilai terlebih dahulu.
Jika terlalu bergantung kepada import, harga boleh meningkat dan itu kita tidak mahukan. Ketika ini, kira-kira 70 peratus bekalan daging babi di Selangor diperoleh dari negeri lain dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Shah Alam Siri 2, di sini.