KUALA LUMPUR, 18 November -10 sektor utama telah dikenal pasti dalam Fasa Satu kajian mengenai impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital, dan Ekonomi Hijau terhadap tenaga kerja Malaysia, antaranya aeroangkasa, kimia, pembuatan, perkhidmatan makanan, dan peranti perubatan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata kesemua sektor ini telah menyumbang lebih daripada RM900 bilion, atau kira-kira 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu.
Sementara fasa kedua kajian pula akan dilaksanakan tahun hadapan melibatkan tambahan 12 sektor lain.
“Kerjasama dengan kementerian-kementerian lain, terutamanya Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan Tinggi, akan dilaksanakan bagi menilai trend dan keperluan yang akan datang”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancarannya di ibu negara.
Steven Sim juga menegaskan, bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan kompetitif, fokus akan diberikan kepada sektor-sektor yang relevan untuk mengenal pasti langkah-langkah yang dapat meningkatkan tenaga kerja negara.
Langkah-langkah tersebut termasuk meningkatkan kemahiran khusus, menjalankan latihan semula, merapatkan jurang kemahiran, serta menyelaraskan program latihan dengan piawaian antarabangsa.