KOTA KINABALU, 17 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa delegasi Malaysia akan ke Australia bulan depan bagi meneruskan kajian empirikal pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
Satu pertemuan akan diadakan bersama Peguam Negara Australia, Mark Dreyfus bagi tujuan itu.
''Mungkin dalam bulan depan kami akan ke Australia sebab Peguam Negara Australia akan berjumpa kita, (begitu juga) dengan beberapa universiti.
"Kita akan buat empirikal di sana dan paling akhir di United Kingdom nanti," katanya ketika pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Kajian itu telah dilakukan di Kanada awal bulan ini sebelum berakhir di United Kingdom dengan kerjasama beberapa universiti.
Azalina turut berharap kajian berkenaan akan dapat diselesaikan pada tahun ini.
"Kajian lebih mendalam daripada segi negeri-negeri, perbandingan dalam negara Malaysia mungkin tahun 2025 sebab janji kami kepada Parlimen dua tahun, bagi mendapatkan laporan untuk diberikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk membuat penilaian," katanya.
Inisiatif pengasingan kuasa AG dan Pendakwa Raya dilaksana secara berfasa selama dua tahun melalui kajian empirikal di tiga negara iaitu Kanada, Australia dan United Kingdom.
Ia bagi mengenal pasti model sesuai untuk negara selain inisiatif untuk mendapatkan keterangan secara terus dan sebagai rujukan amalan terbaik.