Kaedah pengesahan umur pengguna media sosial dimuktamadkan suku kedua 2026

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika memberi penjelasan di Dewan Negara – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Kaedah pengesahan umur bagi pengguna media sosial akan dimuktamadkan melalui instrumen subsidiari bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Akta 866) pada suku kedua tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaedah pengesahan umur untuk pengguna media sosial akan dimuktamadkan suku kedua 2026 melalui instrumen subsidiari Akta 866.
  • MCMC menilai mekanisme pengesahan umur dan identiti dengan fokus keselamatan akaun, perlindungan data peribadi dan privasi.
  • Regulatory Sandbox sedang dijalankan bersama penyedia platform untuk menguji pendekatan teknologi yang sesuai.
  • Rundingan awam hingga 13 Mac untuk kerangka kawal selia, draf kod keselamatan dan mekanisme aduan terus kepada platform.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, mekanisme itu bagi memastikan golongan kanak-kanak dan remaja dapat dilindungi secara lebih menyeluruh dalam persekitaran digital selaras dengan penguatkuasaan akta itu sejak 1 Januari lepas.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menilai tahap pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan identiti dengan mengambil kira aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi, privasi serta kesesuaian dengan kerangka perundangan sedia ada.

“MCMC juga sedang melaksanakan proses Medan Ujian Regulatori (Regulatory Sandbox) bersama penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani di Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, Teo memaklumkan, rundingan awam berhubung cadangan kerangka kawal selia dan draf kod bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian, bertujuan mempertingkatkan keupayaan platform dalam talian mengurus risiko keselamatan.

Usaha tersebut memastikan penyedia platform media sosial mematuhi piawaian keselamatan yang lebih ketat khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan golongan rentan.

“Sebenarnya MCMC telah memulakan satu rundingan awam supaya kita boleh membangunkan beberapa instrumen subsidiari di bawah Akta 866 dan masuk rangka kerja pelan keselamatan dalam talian dan juga draf kod pengurangan risiko serta kod perlindungan kanak-kanak. Rundingan awam ini akan dilaksanakan hingga 13 Mac.”

“Hasrat kita adalah selepas rundingan awam ini kita boleh memuktamadkan kod yang sedang dibangunkan. Serta, menjadikannya satu kewajiban dan juga obligasi terhadap penyedia platform media sosial supaya mereka boleh memastikan algoritma mereka adalah lebih selamat dan bersesuaian dengan umur pengguna,” tambahnya.

Jelas beliau lagi, pihaknya juga berharap dapat membangunkan satu mekanisme aduan supaya pengguna juga boleh buat laporan terus kepada penyedia platform media sosial tanpa perlu melalui MCMC.