KUALA LUMPUR, 18 Januari- Kaedah pelepasan nyamuk Wolbachia terbukti dapat mengatasi peningkatan kes wabak denggi.
Menurut Pakar Perubatan Perunding (Kanan) Kesihatan Awam dan Epidemiologi Penyakit Berjangkit, Pengarah Kawalan Penyakit KKM, Dr Anita Suleiman berkata langkah berkenaan adalah baik kerana tidak menggunakan sebarang unsur bahan kimia, hanya kaedah semula jadi.
"Nyamuk yang menyebabkan denggi di Malaysia ini jenisnya Aedes aegypti. Jadi, bila ada wolbachia, virus denggi ini tidak boleh hidup. Nyamuk Aedes betina akan menghisap darah manusia. Kalau darah manusia itu ada virus denggi, dia akan menyebarkan kepada manusia lain. Namun, jika nyamuk berwolbachia, denggi itu akan habis di situ."
"Maka, ini adalah satu kaedah kawalan yang bagus tetapi kaedah itu tidak boleh seekor, sebaiknya seluruh nyamuk di dalam lokaliti yang beban dengginya tinggi. Kita dapat menggantikan sekurang-kurangnya 80% nyamuk di lokaliti berkenaan dengan nyamuk wolbachia. Insya-Allah, penyakit denggi dalam komuniti itu takkan menular," kata Dr. Anita kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, pagi tadi.
Tambahnya, menurut kajian, nyamuk jenis wolbachia tidak memberi kesan kepada manusia atau pun haiwan kerana Wolbachia adalah sejenis bakteria semula jadi yang turut wujud dalam serangga lain.
Setakat tahun lepas, KKM telah melepaskan nyamuk berwolbachia membabitkan 32 lokasi di tujuh negeri.